Dec 19, 2012

Rawatan Buasir Tanpa Bedah



Ramai yang mengalami ketidakselesaan akibat buasir. Penyakit ini telah saya cerita dengan agak panjang di penulisan saya sebelum ini.

(Lihat Pos oleh Dr Zubaidi)

Namun apabila saya membayangkan perkataan “bedah”, ramai yang menulis email kepada saya semula dan bertanyakan rawatan yang boleh didapati selain dari pembedahan.

“Saya bukannya tidak mahu bedah, tapi menurut rakan saya yang mengalami masalah yang sama dan telah dibedah, luka pembedahan di dubur sukar untuk sembuh…”

Saya tersenyum mendengar alasan yang diberikan.

Sudah semestinya luka di bahagian dubur agak sukar untuk sembuh kerana di situ terdapat banyak kuman dan lendiran. Tidak mungkin luka di kawasan dubur akan kering dalam masa yang pendek.

Akibat luka yang lambat sembuh ini menyebabkan pesakit selalu mengalami trauma ketika mahu membuang air besar kerana apabila najis keluar dari lubang dubur itu, selalunya pesakit akan merasa sakit. Oleh itu ada pesakit rela untuk tidak makan kerana bimbang akan menyebabkan terkumpulnya banyak najis di usus besar.

Walaubagaimanapun, pembedahan selalunya harus dilakukan kepada buasir yang besar dan tidak dapat lagi dirawat dengan rawatan ubat-ubatan. Tanpa pembedahan kemungkinan buasir bertambah teruk.

“Doktor baru-baru ini saya ternampak klinik pakar buasir yang merawat menggunakan kaedah suntikan. Mengikut pesakit yang telah mendapatkan rawatan di sana, ianya berkesan. Mengapa pihak hospital tidak menyediakan rawatan ini?”

Saya tersenyum sekali lagi. Saya percaya klinik yang dimaksudkan bukanlah klinik yang dikendalikan oleh doktor yang bertauliah.

Klinik-klinik ini biasanya dikendalikan oleh tabib Cina. Malah ada juga pengamal bekam yang merawat buasir. Saya amat hairan bagaimana buasir yang berada di dubur dapat dirawat dengan membuang darah pada punggung dan pinggang. Mungkin mereka mengagak “darah kotor” dari dubur mampu ‘bergerak ke atas’ dan dikeluarkan melalui kulit punggung dan pinggang.

Saya tidak manafikan adakalanya rawatan yang mereka berikan adakalanya berkesan. Itu semua bergantung kepada jenis dan saiz buasir yang yang dialami oleh pesakit.

Terdapat juga beberapa doktor Pengamal Perubatan Am yang melakukan rawatan suntikan di klinik mereka. Asalkan mereka berpengalaman dan terlatih, saya percaya pesakit tentu akan dapat manfaat dari penggunaan menggunakan kaedah rawatan buasir dengan cara suntikan.

Cara rawatan suntikan yang biasa dilakukan ialah sclerotherapy di mana suntikan jarum yang mengandungi pembeku darah (sclerosant) disuntik pada saluran darah yang bengkak (buasir) lalu menyebabkan buasir itu menjadi keras, membentuk parut dan kemudiannya tanggal sendiri.

Suntikan untuk buasir selalunya dilakukan dengan mudah tanpa perlu dimasukkan ke dalam wad. Prosedur ini selalunya dilakukan di bilik doktor dan memakan masa tidak lebih dari dua jam. Buasir yang mempunyai bilangan yang melebihi satu dapat dirawat serentak dengan menggunakan teknik ini.



Oleh itu ramai pesakit yang memilih rawatan ini kerana ianya cepat memberikan kesan. Namun begitu buasir ini boleh berulang semula. Selalunya akan berulang selepas setahun terutama pada pesakit yang mengalami sembelit yang kronik.

Semasa bekerja di Jabatan Pembedahan, saya pernah bertanya kepada Consultant Surgeon soalan yang sama, iaitu ‘mengapakan rawatan suntikan tidak digunakan’.

Doktor di hospital lebih bimbang akan kesan sampingan yang boleh berlaku jika cuai ketika menyuntik sclerosant.

Komplikasi mungkin dialami ialah pembekuan darah pada saluran vena buasir akan pecah menjadi serpihan-serpihan darah beku yang kecil (venous thromboembolism) dan bergerak ke organ-organ tertentu seperti otak, paru-paru dan jantung.

Jika ia bergerak ke otak, boleh menyebabkan stroke. Jika bergerak ke paru-paru dan jantung boleh menyebabkan pesakit mengalami kesukaran bernafas. Serpihan darah beku yang bergerak ke saluran darah di mata pula boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan buta.


Kesan sampingan ini biasanya berlaku jika doktor memberikan dos suntikan yang berlebihan untuk merawat buasir yang bersaiz agak besar. Ia juga berlaku jika perawat atau doktor tersilap memberikan suntikan pada saluran arteri (sepatutnya saluran vena).

Kesan sampingan inilah yang menjadi trauma pada doktor yang merawat kerana pesakit boleh meninggal dunia, bukan kerana penyakit buasirnya tetapi kerana rawatan yang diberikan.

(rujuk: Morrison N and Neuhardt D L (2009). “Foam Sclerotherapy: cardiac and cerebral monitoring”. Phlebology 24 (6): 252–259)

Pesakit juga boleh mengalami reaksi anaphalaxis yang menyebabkan pesakit tidak boleh bernafas serta-merta sebaik sahaja suntikan diberikan. Kesan reaksi ini amat cepat dan boleh menyebabkan kematian yang mengejut.

(rujuk: Scurr JR, Fisher RK, Wallace SB (2007). “Anaphylaxis Following Foam Sclerotherapy: A Life Threatening Complication of Non Invasive Treatment For Varicose Veins”. EJVES Extra 13 (6): 87–89)

Oleh itu doktor selalunya berhati-hati ketika menimbangkan pilihan rawatan buasir menggunakan teknik suntikan.

Bagi pesakit yang cuba mengelakkan pembedahan, rawatan secara suntikan adalah pilihan yang agak baik. Namun harus berbincang dengan doktor yang merawat dan meneliti kesan sampingan yang mungkin diterima jika pesakit itu mempunyai penyakit kronik yang lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, asthma atau lainnya.

Wallahu a’lam.



Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (141211)

0 COMMENT :

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails