May 22, 2008

Tun Dr. Mahathir keluar Umno



Berita Harian
ALOR STAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Umno seumur hidup, semalam mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

"Saya dengan ini mengumumkan keluar parti hari ini sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan.

"Saya juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil tindakan yang berani ini untuk keluar parti dan kita menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan," katanya di hadapan lebih 1,500 hadirin, kebanyakannya ahli Umno Kedah pada majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu' di sebuah hotel di sini semalam.

Dr Mahathir membuat pengumuman itu sebagai menyahut cabaran seorang hadirin pada majlis berkenaan yang meminta beliau terlebih dulu mengumumkan keluar parti. Sebelum itu, dalam ucapan kira-kira sejam, beliau mencadangkan ahli Umno supaya keluar parti secara sementara bagi memaksa Abdullah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

'Kaji kenapa Tun keluar UMNO'

KUALA LUMPUR 20 Mei - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu bertindak demikian kerana tidak dapat menerima prestasi terburuk UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.

''Barangkali ada yang seronok apabila Dr. Mahathir keluar dari UMNO seperti kata Tun Musa Hitam mengenai tindakan Dr. Mahathir meninggalkan parti bagaikan 'duri dalam daging sudah terkeluar'.

''Ada pula seorang lagi menteri melahirkan rasa lega dengan tindakan Dr. Mahathir, memang jelas banyak reaksi yang diterima daripada pelbagai pihak.

''Apa pun bagi saya, kita kena kaji dengan mendalam kenapa beliau mengambil keputusan keluar daripada UMNO,'' katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Ijazah Kedoktoran Kehormat kepada bekas Rektor Kedua Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Datuk Dr. Abdulhamid Ahmad Abusulayman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan bekas Presiden UMNO itu yang mengambil keputusan keluar parti berkuat kuasa serta merta semalam.

Bekas presiden UMNO selama 22 tahun antara 1981 dan 2003 itu dan merupakan antara ahli terawal parti itu sejak penubuhannya pada 1946 berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sanusi berkata, jika ahli UMNO masih tidak sedar dan mengambil iktibar daripada kekalahan teruk pada pilihan raya umum yang lalu, bahayanya dalam masa lima tahun lagi ada kemungkinan BN akan hilang semua negeri kepada pembangkang.


Respond dari blog Tun Mahathir
Siapa sebenarnya "duri dalam daging"?
Dr Mahathir Mohamad
Thu | May 22, 08 | 7:53:42 am MYT

Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari Umno yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 Mei. Komen oleh dua pemimpin Umno amat menggelikan hati saya.

Tun Musa Hitam dakwa saya adalah 'duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.'

Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging Umno tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [di lantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden Umno. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.

Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.

Akhirnya pecahlah Umno dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada Umno Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli Umno atau tidak.

Satu lagi pemimpin Umno ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar Umno, jadi calon bebas dan lawan dengan Umno, dalam Pilihan raya Kecil dengan simbol kunci.

Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato' dibenar kembali ke pangkuan Umno, Dato' akan jadi duri dalam daging Umno lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihan raya kecil saya bersetuju Dato' masuk balik Umno.

Saya ucap tahniah kerana Dato' dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya.

Tepuk dulang paku serpih,
Katakan orang awak yang lebih. - chedet.com


Ulasan:
Banyak2 cerita politik yang aku ikut, ni le paling kronik isu yg tgh melanda tanahair, khususnya UMNO. Semakin hari semakin aku tak paham Malaysia ni....

1 comment :

  1. Btul2!
    Ntah apa2 la..takpa..asal kita bahagia dh..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails